fbpx

Staf institusi agama perlu bersih, fokus nilai positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razim Mohd. Noor berucap pada Program Perolehan Bebas Rasuah dianjurkan SPRM dan Unit Integriti Jakim di ILIM, Kampus Induk Bangi, Selangor hari ini.

BANGI- Kakitangan agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri diingatkan sentiasa fokus dalam pengurusan dana serta perolehan dengan menerapkan segala nilai positif sepanjang masa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, sifat amanah, integriti, telus dan komitmen dalam pekerjaan wajib sentiasa diamalkan.

“Kita bukan sahaja bersih bahkan dilihat bersih kerana program itu adalah usaha pemantapan governans dan integriti melalui siri peningkatan pengetahuan, pematuhan dan pemantauan yang berkesan.

“Amalan ini perlu sentiasa diberikan perhatian agar disiplin bebas daripada unsur salah laku rasuah, pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya merasmikan Program Perolehan Bebas Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Aminudin Mohamad dan dihadiri 156 pegawai yang mendapat kerjasama Unit Integriti Jakim.

Peserta terdiri kumpulan pengurusan dan profesional serta sokongan dari pelbagai agensi itu selain mengikuti ceramah SPRM, mereka juga terlibat aktif dalam beberapa sesi soal jawab.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor ketika berucap menyifatkan program ini bertepatan usaha menyebar luas mesej antirasuah.

“Ia selaras inisiatif objektif strategik di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 untuk menambah baik keberkesanan pendidikan dan pembangunan berterusan modal insan.

“Program bersama anggota pentadbiran awam yang menguruskan institusi agama juga adalah signifikan dalam konteks hubungan antara agensi seluruh negara,” jelasnya.

Katanya, pihaknya optimis usaha ini dapat beri impak positif kepada kumpulan sasar kerana ia amanah yang wajib ditunaikan sebaik mungkin, jujur, adil, telus dan tanpa ada diskriminasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI