fbpx

Ranking 100 terbaik bukan mustahil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN-PEMAIN negara cipta sejarah layak secara merit ke pentas Asia.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

KEJAYAAN cemerlang yang dipamerkan skuad Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun pada kempen kelayakan di Kuala Lumpur bulan lalu sememang­nya membuka mata banyak pihak.

Ini kerana percaturan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat pelaburan besar dengan melantik Kim Pan-gon mula membuahkan hasil.

Lebih menarik, berdasarkan kemas kini ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan lalu, Malaysia melonjak tujuh anak tangga berada di kedudukan ke-147 dengan 1,057.59 mata.

Situasi itu menyaksikan momentum skuad kebangsaan ketika ini berada di landasan tepat memandangkan ia adalah kedudukan terbaik sejak 2012.Melihat prestasi itu, tidak mustahil ranking skuad Harimau Malaya akan melonjak di kedudukan lebih baik atau dalam kelompok 100 pasukan terhebat dunia.

Sebagai rekod, Vietnam kekal pasukan No. 1 Asia Tenggara dengan kedudukan ke-97 dunia ketika ini diikuti Thailand (111), Fili­pina (134) dan Malaysia tempat keempat terbaik rantau ini.

Jika menjadi realiti, ia sekali gus menyaksikan sasaran strategik dalam Peta Hala Tuju FAM atau F:30 untuk Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia menjelang 2026 dapat dicapai.

Bagaimanapun, situasi itu tidak semudah yang disangka kerana Vietnam juga memerlukan lebih tiga tahun untuk berada dalam kelompok 100 terbaik.

Pemerhati sukan, Dr. Pekan Ramli percaya Harimau Malaya berpotensi untuk meneruskan momentum positif dengan me­lonjakkan lagi kedudukan ran­king semasa sebelum tarikh undian Piala Asia 2023.

Katanya, banyak perkara yang boleh dilakukan bagi memastikan ranking pasukan terus melonjak antaranya melakukan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan negara yang lebih baik.

“Saya harap FAM dapat gunakan kalendar antarabangsa FIFA yang ada pada September, Oktober dan November untuk mening­katkan ranking termasuk tampil cemerlang pada kempen Piala AFF 2022 Disember ini.

“Namun, FAM perlu mencari lawan yang menduduki ranking lebih baik. Selain itu, FAM juga boleh melakukan semula kejohanan bercorak karnival dengan syarat perlu dilangsungkan ketika kalendar FIFA agar dapat mengutip mata untuk meningkatkan ranking semasa,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pekan percaya Malaysia boleh menjadikan Vietnam sebagai contoh.

“Semua orang boleh lihat Pan-gon seperti menyuntik nafas baharu dalam bola sepak kebangsaan. Justeru, saya anggap peluang (kelompok 100 terbaik) ada, cuma cepat atau lambat sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengakui perancangan FAM ketika ini adalah untuk mengatur siri persahabatan dengan negara-negara yang menduduki ran­king lebih tinggi.

“Buat masa ini pihak kami masih lagi berusaha mencari pa­sukan yang menduduki ranking lebih tinggi untuk mengharungi aksi antarabangsa nanti.

“Situasi ini penting bagi memastikan persiapan untuk mengharungi Piala AFF 2022 dan Piala Asia 2023 berjalan lancar,” kata­ beliau.

Sejak sistem ranking diper­kenalkan oleh FIFA pada 1993, pencapaian terbaik yang pernah direkodkan oleh Malaysia adalah menduduki tempat ke-75 pada tahun sama dan yang terburuk di kedudukan ke-178 pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI