fbpx

Pengguna katil wad perubatan, pediatrik di Kelantan sudah melebihi kapasiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan salah sebuah wad pediatrik di Kota Bharu yang sesak dengan pesakit.

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan berlaku peningkatan ketara kemasukan pesakit ke wad perubatan dan pediatrik (kanak-kanak) terutamanya di hospital-hospital berpakar di Kelantan bermula bulan ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, penggunaan katil di wad-wad telah melebihi kapasiti sehingga menyebabkan waktu menunggu pesakit untuk dimasukkan ke wad meningkat sehingga melebihi empat jam.

Menurutnya, bagi menangani masalah itu, JKNK telah mengoptimumkan penggunaan katil di hospital-hospital melalui sistem koordinasi katil berpusat dan koordinasi rujukan
secara pengezonan bagi mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

“JKNK telah menukar wad-wad di hospital daerah yang mempunyai bilangan pesakit yang rendah kepada wad multidisiplin bagi menampung pertambahan bilangan pesakit.

“Selain itu, kita juga akan meningkatkan bilangan katil di hospital-hospital daerah dan mobilisasi atau pergerakan petugas dari hospital di negeri ini untuk operasi di wad tambahan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, menurut Zaini, JKNK juga mencadangkan agar Hospital Kuala Krai beroperasi semula bagi mengelakkan peningkatan kemasukan pesakit ke wad perubatan dan pediatrik.

Katanya, JKNK juga mengambil maklum mengenai hantaran di Facebook yang mengatakan mengenai isu kesesakan wad pediatrik di HRPZ Il yang tular sejak semalam.

Ujarnya, jabatan itu juga berharap dengan langkah-langkah yang diambil ketika ini dapat menangani isu tersebut dengan segara bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan rawatan pesakit di Kelantan.

Terdahulu, tular di media sosial apabila ada individu yang mendakwa semua wad pediatrik di sekitar Kota Bharu ketika ini dilaporkan penuh dan hampir tiada katil untuk pesakit baharu.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, individu yang dikenali sebagai Mariah Fauzi mendakwa, kesesakan itu dikesan melibatkan empat hospital utama daerah ini.

Antara hospital terbabit adalah HRPZ II, Hospital Pakar Perdana KPJ, Kota Bharu Medical Centre (KBMC) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurut wanita itu, pihak pengurusan HRPZ II ketika ini terpaksa meletakkan katil di tengah laluan di dalam wad terbabit bagi menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI