JAKARTA – Seorang pengantin perempuan di wilayah Sulawesi Tenggara tidak dapat menahan kesedihan dan menangis teresak-esak apabila melihat bekas kekasih hadir ke majlis perkahwinannya, lapor portal berita Wolipop semalam.
Menurut Wolipop , wanita berkenaan diarah berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya dan terpaksa memutuskan hubungan dengan bekas kekasihnya.
Berdasarkan sebuah klip video yang tular di media sosial, seorang pemuda dilihat membawa jambangan bunga sambil naik ke pelamin untuk bertemu pasangan pengantin.
Ketika menyerahkan jambangan bunga kepada pengantin perempuan, wanita itu tidak dapat menahan sebak lalu menangis, manakala lelaki berkenaan terus beredar.
Melihatkan keadaan tersebut, seorang individu dipercayai ahli keluarganya dilihat cuba memujuk pengantin perempuan agar kembali bertenang.
Percubaan itu bagaimanapun gagal apabila dia terus menangis meskipun terdapat tetamu lain naik ke pelamin untuk bersalaman.
Sementara itu, Wolipop menghubungi lelaki yang didakwa merupakan bekas kekasih wanita berkenaan dan bertanyakan mengenai hal tersebut.
Menurut lelaki yang lebih dikenali sebagai Ebil, 19, itu, dia dan bekas teman wanitanya, Siska saling mengenali sejak di bangku sekolah menengah.
Ebil bagaimanapun tidak tahu siapa yang merakam dan memuat naik video dia berada di majlis perkahwinan tersebut.
“Saya kasihan melihat Siska menangis. Sedih, tapi apa lagi yang boleh dilakukan kerana semuanya sudah ditentukan takdir,” katanya yang sempat berpesan kepada wanita itu agar berbahagia dengan kehidupan baharu.
Tambah Ebil, dia tidak mengetahui alasan ibu bapa Siska menjodohkan wanita itu dengan lelaki lain.
“Mungkin pekerjaannya lebih baik. Pilihan ibu bapa memang baik, namun pilihan sendiri jauh lebih baik.
“Bagi lelaki lain di luar sana yang ditinggalkan seperti saya, anda perlu tabah kerana ada hikmah di sebalik semua yang berlaku,” katanya. – Agensi