KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan operasi pemantauan di seluruh sempadan negara bagi membendung ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penguatkuasaan yang lebih ketat di kawasan berkenaan sudah lama bermula namun kini ditingkatkan.
“Banyak laporan diterima berhubung penyeludupan minyak masak peket bersubsidi di sempadan negara. Jadi, pemantauan ditumpukan di semua sempadan negeri termasuk Kelantan, Sabah, perairan Perlis dan Kedah.
“Kita juga ada kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jadi usaha penguatkuasaan ini akan dipertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Bulanan KPDNHEP Bulan Julai di Menara SSM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Alexander memaklumkan kerja-kerja operasi pengauditan dan pemutihan pengeluar dan premis pembungkusan minyak masak peket sedang dilakukan dengan teliti.
“Apabila selesai proses pemutihan, hasilnya akan dibentangkan namun ia akan memakan masa kerana apa yang dilakukan perlu adil dan tepat.
“Ini bagi memastikan tindakan serta langkah seterusnya dapat diatur dengan teliti,” ujarnya.
Tambah Alexander, pihaknya juga akan mengenalpasti jika ada penglibatan ‘orang dalam’ berkaitan penyeludupan minyak peket bersubsidi ke negara jiran.
“Itu kita akan pastikan,” ujarnya mengulas berhubung dakwaan pihak tertentu akan kewujudan ‘orang dalam’ berhubung kes penyeludupan minyak masak berkenaan. – KOSMO! ONLINE