PETALING JAYA – Pemain industri hartanah menjangkakan harga kediaman akan meningkat secara signifikan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, berdasarkan Indeks dan Tinjauan Hartanah Malaysia yang diterbitkan firma hartanah, Juwai IQI semalam.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, ejen-ejen hartanah percaya harga kediaman bakal meningkat sebanyak 11.8 peratus dalam tempoh setahun, sebelum meningkat kepada 16.5 peratus lebih tinggi menjelang dua tahun akan datang.
“Kami telah melaksanakan Indeks dan Tinjauan Hartanah Juwai IQI sejak 2019 dan kadar ini merupakan unjuran pertumbuhan harga kediaman paling kukuh yang direkodkan.
“Unjuran berubah ketara sejak suku ketiga 2021, ketika ejen-ejen hartanah menjangkakan penurunan lima peratus pada harga kediaman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Kashif, dalam tempoh dua tahun akan datang, ejen hartanah menjangkakan pertumbuhan harga kediaman sebanyak 15.9 peratus di Kuala Lumpur dan Selangor, 17 peratus di Pulau Pinang, Johor (18.1 peratus) serta Sabah (14.7 peratus).
“Salah satu sebab kenapa ejen begitu yakin terhadap pasaran hartanah domestik adalah kerana mereka optimis tentang prestasi ekonomi negara.
“Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia sebanyak lima peratus adalah tinggi mengikut standard global, ia lebih baik berbanding China, Amerika Syarikat, Singapura dan ekonomi utama lain,” ujarnya.
Senario tersebut, jelas Kashif bermakna pemilik rumah bakal beroleh manfaat daripada peningkatan nilai aset mereka, manakala penyewa perlu melihat sama ada untuk membeli kediaman sendiri atau menaikkan bajet untuk terus menyewa.
“Hampir sembilan daripada sepuluh ejen hartanah menyatakan, bakal menasihati rakan mereka bahawa lebih baik membeli rumah hari ini, berbanding terus menyewa.
“Hanya 11 peratus menyatakan perkara sebaliknya,” katanya. -KOSMO! ONLINE