PEMINAT Blackpink, khususnya Lisa cukup tahu bahawa penyanyi itu sememangnya seorang yang memiliki bakat menyanyi dan kelincahan menari sejak kecil.
Disebabkan itulah dia yang menjadi penari utama dalam Blackpink sering menuai pujian kerana gerak tarinya yang sempurna dan lancar.
Ironi, bergelar artis idola bukan satu perkara mudah untuk dicapai. Lisa juga tidak terkecuali mendepani cabaran getir sebelum berada di tahap sekarang.
Ketika muncul dalam majalah Marie Claire baru-baru ini, penyanyi kelahiran Thailand itu berkongsi perjalanan kariernya kepada peminat.
Ujar pelantun lagu Money itu, ibunya mula menyedari kecenderungan terhadap dunia nyanyian selepas dia menunjukkan minat mendalam terhadap bidang tersebut sejak kecil.
Didorong sokongan ibunya, Lisa mula berlatih menari dan menyanyi seawal usia lima tahun.
Ketika mengimbau zaman bergelar bergelar pelatih, dia mengakui segalanya bukan mudah, namun atas keyakinan diri yang menebal, dia memulakan debut bersama Blackpink kerana mempercayai bakat setiap anggota kumpulan berkenaan.