fbpx

Kosmo!, Utusan Malaysia akan terus kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekitar Majlis Tahlil dan Bacaan Doa sempena ulangtahun ke dua Media Mulia yang diadakan di Ibu Pejabat Media Mulia Quattro West Petaling Jaya. GAMBAR: SHAHRIL AZMAN ZAIN

PETALING JAYA – Media Mulia Sdn. Bhd. telah mengadakan Majlis Doa Selamat Sempena Ulang Tahun ke-2 Kosmo! dan Utusan Malaysia serta Tahlil di Galeri Sofia di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar serta Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar dan Timbalan Pengarang Kosmo!/Kosmo! Ahad, Jamdi Nasir.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat serta tahlil bermula pukul 12 tengah hari itu turut dihadiri warga kerja daripada Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Jabatan Pengarang Kosmo! serta TMR Media.

Mohamad Azlan dalam ucapanya berkata, beliau akan berusaha untuk memastikan institusi Utusan Malaysia dan Kosmo! akan terus kekal di masa akan datang.

Menurutnya, sepanjang dua tahun pelancaran semula Utusan Malaysia dan Kosmo!, pelbagai cabaran telah dihadapi syarikat, namun dengan semangat semua tenaga kerja, cabaran tersebut berjaya diharungi.

“Mengimbas sepanjang tempoh dua tahun ini, Media Mulia berjaya mencatatkan keuntungan dan ia diberikan dalam bentuk bonus kepada warga kakitangan.

“Kita akan berusaha keras pada tahun ini dan akan datang serta selama mungkin untuk meneruskan kelangsungan syarikat.

“Malah, kita bertanggungjawab untuk memastikan syarikat kekal serta tidak mahu mengulangi sejarah lampau, sekali gus mengekalkan institusi Utusan Malaysia dan Kosmo!,” katanya.

Semalam genap dua tahun usia akhbar Kosmo! selepas kembali menemui semula pembaca pada 20 Julai 2020 dengan pelbagai kupasan laporan berita bersifat komprehensif dan versatil demi memastikan suara rakyat terus didengar.

Mengadunkan ‘resepi’ memperjuangkan suara pengguna dalam setiap laporan berita, ­Kosmo! terus mengorak langkah agresif bagi memastikan isu dihadapi rakyat dapat diketengahkan seterusnya membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi.

Selain memberi fokus kepada isu kepenggunaan, akhbar ini juga tidak ketinggalan membawakan laporan berkonsepkan hal ehwal semasa selari dengan selera pembaca yang mahukan pemberitaan meliputi pelbagai aspek kehidupan.

Lebih menarik apabila pelbagai laporan eksklusif dan berbentuk pendedahan disiarkan sehingga berjaya memenangi anugerah.

Antaranya pendedahan menggemparkan bertajuk ‘Perkampungan emas’, ‘Mukim Kechau dalam Jajaran Emas’, ‘Tanah emas tidak akan dirampas’ yang berjaya memenangi pingat perak Kategori Laporan Berita Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2021.

Selain itu, kesinambungan hubungan akrab yang terjalin antara pembaca setia Kosmo! dengan akhbar kompak ini diteruskan dengan pelbagai aktiviti sebagai tanda penghargaan atas sokongan diberikan.

Akhbar kompak ini dilancarkan pada 30 Ogos 2004 kembali berada di pasaran sejak dua tahun lalu di bawah Media Mulia Sdn. Bhd. yang dipimpin oleh Mohamad Azlan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI