JOHOR BAHRU – Sebanyak RM140 juta peruntukan diluluskan kerajaan pusat bagi menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang kini usianya menjangkau 140 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, proses naik taraf itu dijangka dimulakan pada bulan depan dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.
Katanya, bagi tidak mengganggu operasi harian hospital kerajaan itu, kerja-kerja menaik taraf akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Julai 2025.
“Skop projek adalah menaik taraf bekalan elektrik utama dari 6.6kV kepada 33 kV, naik taraf sistem elektrik, sistem mekanikal, sistem pencegahan kebakaran, sistem gas perubatan, Building Automation System (BAS), sistem teknologi maklumat, kerja konservasi dan perlindungan alam sekitar serta infrastruktur berkaitan.
“Kerja menaik taraf ini akan tidak akan mengganggu atau menjejaskan operasi hospital bahkan HSA akan berjalan seperti biasa.
“Projek ini akan dilakukan secara berfasa dan jika perlu kita akan pindahkan pesakit di HSA ke hospital lain bagi memastikan rawatan dapat diteruskan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta pengurusan HSA di sini hari ini.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf hospital yang berusia 140 tahun itu akan dilakukan oleh Selengara Maju Trading sebagai kontraktor yang dilantik.
Dalam pada itu, Tian Soon berkata, proses naik taraf berkenaan adalah satu keperluan setelah hospital pertama di Johor Bahru itu pernah mengalami beberapa kebakaran yang serius pada 2016 sekali gus menjamin keselamatan di hospital berkenaan.
Bagi mengatasi parkir yang kritikal di HSA, kerajaan Negeri mengambil langkah menyediakan tapak meletak kenderaan di kawasan Penjara Ayer Molek, di sini yang melibatkan 70 petak parkir. – KOSMO! ONLINE