fbpx

Kerajaan negeri diminta percepatkan pewartaan tanah lapang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika mempengerusikan MPFN ke-40 di Parlimen tadi

PUTRAJAYA- Kerajaan negeri diminta untuk mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam selari dengan sasaran untuk mewujudkan sebanyak dua hektar tanah lapang untuk setiap 1,000 penduduk bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kerajaan negeri melalui agensi-agensi bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

“MPFN Ke-40 turut mengambil maklum mengenai Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia.

“Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar. Jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar. Bagaimanapun hanya 33 peratus daripadanya telah diwartakan, 24 peratus dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-40 di sini tadi.

Tambah beliau, pewartaan TLA itu akan memastikan ianya kekal terpelihara dan berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS).

“PIRECFS merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor and Negeri Sembilan.

“Ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’,” ujarnya.

Katanya, pelan induk itu turut mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan (forest fragmentation).

“Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI