fbpx

Kelantan tambah peruntukan Belanjawan 2022 sebanyak RM11 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persidangan DUN Kelantan yang dijalankan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM11 juta di bawah Belanjawan 2022 dalam usaha untuk membantu menangani masalah rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, meskipun peruntukan tersebut tidak dapat membantu secara menyeluruh, ia sebenarnya merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu dalam aspek sekuriti makanan di negeri ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan peruntukan tambahan itu, sebanyak RM1.5 juta diberikan kepada nelayan pantai, sungai dan darat.

“Peniaga kecil dan industri kecil sederhana dibantu melalui peruntukan sebanyak RM4.5 juta bagi memberi peluang kepada mereka memperoleh modal atau peralatan bagi menambah produk perniagaan masing-masing.

“Baki RM5 juta lagi diperuntukan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan bagi jangka masa pendek,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Menurut Ahmad, melalui peruntukan tambahan itu, tindakan segera yang perlu diambil adalah dengan membina telaga tiub atau kaedah lain yang bersesuaian.

Katanya, masalah bekalan air perlu dijalankan dalam tempoh masa yang panjang melalui kerja-kerja penukaran paip dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI