DISEBABKAN terlalu kaya, mogul kecantikan Kylie Jenner menggunakan jet peribadi miliknya hanya demi satu perjalanan yang memakan masa tiga minit untuk sampai ke destinasi ditujuinya.
Menurut laporan BuzzFeed.News, perbuatan tersebut dikecam teruk sehingga ada yang menyifatkan dirinya sebagai selebriti berperangai paling buruk di dunia.
Tidak kurang juga, ramai dalam kalangan peminat yang menuduhnya sebagai antara punca pencemaran udara semakin memburuk sejak akhir-akhir ini.
“Kylie Jenner sememangnya antara selebriti paling buruk perangai di luar sana. Tolonglah berhenti menunjuk-nunjuk harta yang akhirnya merosakkan planet,” ujar seorang pengguna Twitter.
Sementara itu, seorang peminat lain menciap: “Orang terkenal memang hidup dalam dunia sendiri. Memang patutlah kena kecam. Dunia dah semakin tenat, perubahan iklim benar-benar sedang berlaku.”
Menurut laporan @CelebJets, Kylie menaiki jet peribadi miliknya untuk ke satu destinasi di bandar yang sama iaitu dari Camarillo, California, Amerika Syarikat ke Van Nuys, California yang hanya memakan masa tiga minit penerbangan.
Sekiranya menaiki kenderaan seperti kereta, perjalanan destinasi tersebut hanya mengambil masa sekitar 40 minit.
Terdahulu, bilionair berusia 23 tahun itu berkongsi sekeping foto berona hitam putih bersama pasangan, Travis Scott dalam keadaan sedang berpelukan membelakangi jet peribadi masing-masing dalam Instagram.
“You wanna take mine or yours? (anda mahu naik jet saya atau anda punya?),” tulisnya sebagai kapsyen foto yang dimuat naik mencetus reaksi pelbagai peminat.
Difahamkan, Kylie memiliki sebuah jet peribadi, Bombardier BD-700 keluaran tahun 2019. Selain itu, pemilik jenama produk kecantikan, Kylie Cosmetics memiliki 15 buah kereta mewah termasuklah sebuah daripadanya berjenama Bugatti Chiron dianggarkan berharga AS$3 juta (RM12.6 juta). – KOSMO! ONLINE