fbpx

Johor Port salur dana tambahan RM2 juta untuk Tabung Endowmen UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Derick menyerahkan replika cek sumbangan kepada Ahmad Fauzi sambil disaksikan Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port) menyumbangkan dana tambahan sebanyak RM2 juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Tabung Endowmen UTM untuk tempoh empat tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md. Derick Basir berkata, dana tambahan itu adalah susulan daripada dana sebelum ini berjumlah RM5 juta bagi tempoh 2013 hingga 2018, manakala RM3 juta untuk 2019 sehingga 2021.

Beliau berkata, penubuhan tabung itu bertujuan membantu membiayai pengajian pelajar UTM yang cemerlang akademik khususnya mereka daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Sumbangan berterusan kepada Tabung Endowmen UTM dapat membantu pelajar untuk meneruskan pengajian. Secara tidak langsung ia membantu negara melahirkan bakat muda berprestasi tinggi.

“Kami percaya bahawa bakat berprestasi tinggi amat penting dalam memacu kejayaan sesebuah organisasi. Pihak kami gembira dapat memainkan peranan memperkasa pelajar universiti melalui sumbangan dana ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md. Derick berkata, pihaknya melalui JP Skills Centre juga bekerjasama dengan UTM bagi program Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan yang dilancar baru-baru ini.

Menurutnya, program perintis pertama yang diperkenalkan di Malaysia itu melibatkan modul kursus kontemporari yang direka untuk meningkatkan asas dan pengetahuan operasi profesional pelabuhan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dalam pengurusan pelabuhan dan mengukuhkan pengurusan serta pembangunan bakat dalam komuniti pelabuhan.

“Sebagai sebuah pelabuhan pelbagai guna bersepadu di wilayah Selatan, Johor Port bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pelbagai industri komoditi, pembuatan dan aktiviti minyak dan gas, malah ia juga sebuah organisasi yang prihatin dalam membentuk serta membangun masyarakat berpengetahuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI