MELBOURNE – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag memberi amaran bahawa keputusannya untuk mengekalkan Harry Maguire sebagai ketua pasukan tidak bermakna pemain itu mendapat jaminan kekal dalam kesebelasan utama.
Ten Hag sebelum ini membuat kejutan apabila mengakui akan mengekalkan Maguire sebagai kapten skuad itu biarpun pemain berusia 29 tahun berkenaan berdepan masalah prestasi yang agak teruk sepanjang musim lalu.
Bagaimanapun, kehadiran Lisandro Martinez yang akan melengkapkan perpindahan dari Ajax Amsterdam akan memberikan tekanan kepada Maguire, selain Raphael Varane dan Victor Lindelof juga sedang berusaha keras memikat Ten Hag.
“Kami memiliki ramai pemain yang baik di bahagian bek tengah dan Harry salah seorang daripada mereka. Dia mampu bermain di sebelah kiri dan kanan.
“Namun, pasukan ini akan penuh dengan persaingan dan ini adalah perkara yang diperlukan di Manchester United. Kami tidak mampu menang dengan 11 pemain sahaja, tetapi keseluruhan skuad kerana banyak perlawanan perlu diharungi.
“Saya sentiasa menganggap Harry adalah pilihan pertama. Dia telah membuktikan sebelum ini, tetapi dia juga perlu terus membuktikan kemampuannya pada masa hadapan. Pada akhirnya, dia sendiri yang akan menentukan nasibnya sendiri,” kata Ten Hag.
Mengulas mengenai kehadiran Martinez, Ten Hag mengakui faktor ketinggian yang dimiliki pemain itu menjadi perdebatan, selain susuk badannya yang agak kecil untuk beraksi sebagai pemain pertahanan di England.
“Dia tidak begitu tinggi, tetapi sangat bagus dalam persaingan bola di udara. Dia membawa budaya bola sepak Latin iaitu agresif, pengawalan bola dan semangat dalam pasukan. Saya fikir itu bagus untuk United,” jelasnya. – AGENSI