LONDON – Pasukan Bomba London mengisytiharkan ‘insiden besar’ ketika anggotanya bertungkus-lumus menangani kebakaran yang berlaku di serata ibu kota Britain, lapor akhbar Metro UK semalam.
Beberapa buah rumah di London musnah selepas kebakaran yang berlaku pada padang rumput, merebak di luar kawalan.
Penduduk setempat berlari untuk menyelamatkan diri sebelum 100 anggota bomba tiba di lokasi kejadian di Wennington, dekat Dartford Crossing.
Angin kuat menyebabkan api menyambar deretan rumah sebelum memusnahkannya.
Sementara itu, rakaman menunjukkan kebakaran besar turut berlaku di bandar Dartford. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi asap tebal menjejaskan penglihatan di sepanjang jalan.
Di Upminster, timur London pula, hampir 200 anggota bomba berusaha untuk mengawal kebakaran padang rumput yang berlaku.
Tiga hektar ladang jagung dan belukar terbakar manakala kepulan asap menjulang ke udara.
Anggota bomba turut menangani dua kebakaran yang berlaku serentak di Oaks Road, Croydon dan Chapel View. – Agensi