LUMUT – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tergamam apabila ditampar dengan kuat oleh seorang jemaah gara-gara tidak memandang muka ketika bersalaman selepas solat asar kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut itu, mangsa berusia 30-an mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan telinga akibat kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis menerima laporan daripada mangsa menyatakan suspek yang tidak dikenalinya telah menampar belakang kepalanya dan mengenai telinga sebelah kanan dengan kuat sebaik bersalaman selepas solat asar.
“Hasil siasatan awal kejadian tersebut berpunca kerana mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalaman menyebabkan suspek menjadi berang dan beranggapan bahawa mangsa bersikap kurang ajar dengannya.
“Siasatan juga mendapati suspek adalah bekas anggota TLDM berusia 46 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
Jelas beliau, hasil rakaman percakapan yang diberikan, mangsa dalam kes itu tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan juga telah menarik semula laporan polis dan kes dikasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA). – KOSMO! ONLINE