BEIJING – Kementerian Luar dan Pertahanan China memberi amaran keras ekoran keputusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk menjual bekalan senjata baharu kepada Taiwan, lapor laman berita RT, semalam.
Perjanjian itu dianggarkan bernilai AS$108 juta (RM481 juta) dan pakej termasuk alat ganti kenderaan berperisai dan bantuan teknikal.
Beijing menuntut supaya AS segera menarik balik rancangan penjualan senjata yang diumumkan itu, selain menghentikan semua perjanjian senjata lain dan memutuskan hubungan ketenteraan dengan pulau tersebut, demikian menurut jurucakap Kementerian Pertahanan, Kolonel Tan Kefei.
“Jika tidak, Pentagon akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjejaskan hubungan antara China dan AS, kedua-dua angkatan tentera serta kestabilan Selat Taiwan.
“Tentera Pembebasan Rakyat China akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayah dengan tegas termasuk menggagalkan sebarang bentuk campur tangan luar dan percubaan untuk ‘memerdekakan Taiwan’,” ujar Kefei.
Pentagon pada Jumaat lalu mendedahkan bahawa Jabatan Negara AS telah memberi ‘lampu hijau’ ke atas urus niaga tersebut. Namun, ia masih belum mendapat kelulusan kongres. – Agensi