BANDAR RAYA MEXICO – Seorang budak perempuan di Mexico berdepan detik cemas apabila rambutnya ditarik seekor monyet yang berada di dalam kandang sebuah zoo akibat diganggu, lapor akhbar The Sun semalam.
Berdasarkan video yang tular di laman TikTok, kanak-kanak dikatakan berusia dalam lingkungan 12 tahun itu pada awalnya, dilihat mengganggu monyet tersebut dengan mengetuk kandangnya sambil memegang telefon bimbit.
Disebabkan berasa terganggu dengan tindakan tersebut, haiwan itu menyambar rambut kanak-kanak berkenaan sebanyak dua kali.
Dia bagaimanapun bernasib baik kerana dapat melepaskan diri.
Netizen yang menonton video tersebut mendakwa bahawa haiwan itu kelihatan seperti monyet labah-labah yang berasal dari Mexico dan Brazil.
Pakar-pakar kebajikan haiwan menasihati orang ramai agar tidak mengganggu binatang yang dikurung, tidak kira sama ada ia kelihatan seperti kejadian lucu.
Ini kerana haiwan yang dikurung kebiasaannya amat tertekan kerana berada di habitat berbeza daripada keadaan semula jadinya. – Agensi