ROM – Bekas penyerang Juventus, Paulo Dybala dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahannya ke AS Roma dengan kontrak selama tiga tahun.
Pemain berkenaan yang berstatus ejen bebas selepas kontraknya di Turin berakhir menjadi rebutan dua lagi pasukan lain iaitu Inter Milan dan Napoli.
Bagaimanapun, laporan media di Itali menyebut bahawa Roma bakal memenangi perlumbaan tersebut apabila mengemukakan tawaran kontrak sehingga 2025 yang menyaksikan Dybala bakal meraih pendapatan £5 juta (RM26.65 juta) setahun termasuk bonus di Stadio Olimpico.
Laporan itu juga menyebut bahawa Dybala sudahpun terbang ke Portugal untuk menyertai skuad Roma yang sedang menjalani aksi pramusim selepas menyempurnakan proses ujian kesihatan.
Pengendali Roma, Jose Mourinho dikatakan telah menghubungi Dybala minggu lalu untuk memujuknya menyertai Roma selain memberikan gambaran mengenai rancangan jangka panjang kelab berkenaan.
Inter yang juga menaruh harapan untuk mendapatkan Dybala berdepan kesukaran apabila mereka perlu terlebih dahulu menjual sama ada Edin Dzeko atau Joaquin Correa selepas kehadiran Romelu Lukaku.
Mourinho ketika ini cuba menambah kekuatan Roma selepas mereka berjaya mendapatkan khidmat Zeki Celik, Nemanja Matic dan Mile Svilar sebelum ini.
Dybala berjaya mengumpul 115 gol sepanjang 293 penampilan bersama Juventus bagi tempoh selama tujuh tahun dan telah memenangi lima gelaran Serie A dan empat gelaran Piala Itali. – AGENSI