KUALA PERLIS – Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan kerana disyaki menangguk siput retak seribu secara haram di kawasan perairan negeri ini pada semalam.
Bot fiber dinaiki seorang tekong dan dua kru berusia 18 hingga 51 tahun itu ditahan pada kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Sungai Bharu di sini kira-kira pukul 1.40 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, penahanan dibuat berikutan aduan awam berkaitan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu di sekitar perairan Kuala Perlis.
“Sebuah bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pemeriksaan sebelum menahan bot tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan Kelas A berpangkalan di Kuala Kedah itu melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kesalahan yang dikesan dilakukan nelayan terbabit adalah di bawah Seksyen 8 (b) dan Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985.
“Kita bertindak merampas set sangkar besi berupa tangguk siput dan hasil laut siput retak seribu seberat 500 kilogram denggan anggaran keseluruhan rampasan RM1,500,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE