QUITO, Ecuador – Seramai 13 banduan terbunuh, manakala dua lagi cedera dalam satu lagi pergaduhan berdarah di penjara Ecuador, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pergaduhan maut itu tercetus hanya dua bulan selepas 44 banduan terbunuh dalam konfrontasi di penjara sama di bandar Santo Domingo Mei lalu.
Pihak berkuasa berkata, anggota pasukan keselamatan telah menguasai semula penjara Bellavista dengan sepenuhnya.
Keganasan di penjara Ecuador meningkat sejak Februari 2021 dengan lebih 400 banduan terbunuh dalam pertempuran secara berkumpulan.
Menteri Dalam Negeri, Patricio Carrillo berkata, sebanyak 13 mayat ditemui susulan insiden terbaharu di penjara Bellavista itu.
“Kemungkinan besar lebih banyak mayat akan ditemui tetapi kami masih tidak pasti,” tambah Carrillo.
Beliau berkata, anggota kumpulan penjenayah R7 telah menyasarkan banduan yang cuba menubuhkan kumpulan saingan.
Kumpulan R7 terlibat dalam pemerasan dan pengedaran dadah selain berpengaruh di beberapa penjara lain di Ecuador .
Anggota kumpulan itu dilaporkan menjadi dalang di sebalik pergaduhan maut di penjara Bellavista sebelum ini dan satu lagi pergaduhan di penjara Turi pada April lalu.
Carrillo memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah yang diperlukan untuk mengukuhkan sistem penjara dengan melatih lebih 1,000 pengawal dan menangani masalah struktur. – Agensi