fbpx

Tuntutan Kumpulan Sulu: Kerajaan tidak akan berganjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada pemberita selepas Majlis Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan berkompromi atau berganjak walau seinci dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara daripada tuntutan Kumpulan Sulu.

Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung sebarang tuntutan dibuat oleh Kumpulan Sulu atau mana-mana pihak terhadap aset-aset di luar negara.

Katanya, kesemua aset-aset milik kerajaan atau mana-mana agensi berkaitan kerajaan (GLC) akan dipertahankan dan dilindungi daripada segi perundangan.

“Tindakan sedang dijalankan dan diambil seperti disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Kita sudah wujudkan Pasukan Khas untuk lihat hal ini secara menyeluruh.

“Bukan setakat aset Petronas sahaja, malah aset-aset lain kita di luar negara. Banyak lagi GLC mempunyai aset di luar negara dan kita tengok secara menyeluruh,” katanya semasa merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 di Hotel Marriott di sini tadi.

Perdana Menteri berkata, Wan Junaidi dan pihak Petronas akan memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada ahli-ahli Parlimen dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Wan Junaidi mengumumkan sebuah Pasukan Khas ditubuhkan bagi menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

Selain diketuai Wan Junaidi, Pasukan Khas itu disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI