fbpx

Trend beli rumah dijangka lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sentimen untuk membeli kediaman diunjurkan lebih lemah berbanding ketika pelaksanaan HOC disebabkan kenaikan OPR dan ketidaktentuan politik menjelang PRU-15. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Maybank Investment Bank menjangkakan corak pembelian kediaman yang lebih lemah, atau berbeza susulan inisiatif pengecualian duti setem yang diumumkan kerajaan berbanding sewaktu Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dari tahun 2019 hingga 2021.

Penganalisisnya, Wong Wei Sum dalam nota kajian yang diterbitkan semalam berkata, ia disebabkan peningkatan kadar faedah yang menjejaskan kemampuan pembeli.

Jelasnya, pihaknya menganggarkan setiap kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas memberikan peningkatan seba­nyak tiga peratus dalam bayaran ansuran bulanan.

“Kami menjangkakan impak yang lebih rendah daripada inisiatif terbaharu ini disebabkan kadar faedah lebih tinggi, yang mana kadar dasar semalaman (OPR) telah dinaikkan sebanyak 50 mata asas tahun ini.

“Selain itu, ketidaktentuan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga boleh menjejaskan sentimen orang ramai untuk melakukan sebarang pembelian besar,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu mengumumkan Inisia­tif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia yang memberikan penge­cualian duti setem bagi pembelian rumah pertama.

Bagi rumah berharga sehingga RM500,000, pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus, manakala pengecualian 50 peratus diberikan bagi rumah berharga RM500,000 hingga RM1 juta.

Wei Sum menambah, pada masa sama, pihak pemaju dilihat telah pun memiliki pakej pemasaran masing-masing, yang antara lain turut menyerap kos duti setem buat pembeli berdasarkan kebolehpasaran projek.

“Kami difahamkan pakej yang ditawarkan adalah setanding, atau lebih menarik berbanding apa yang disediakan ketika HOC sebelum ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI