KUALA SELANGOR – Hasrat seorang tekong darat membawa masuk 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia tidak kesampaian apabila kesemuanya dicekup di tepi Jalan Pinang, Sungai Yu di sini, semalam.
Kesemua mereka berusia 23 hingga 57 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 9 pagi menerusi Ops Nyah Selangor dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4, Semenyih.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, hasil siasatan mendapati kesemua PATI itu menyusup masuk menerusi laut menggunakan bot dari Medan, Indonesia.
Katanya, turut bersama mereka adalah seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dipercayai tekong darat.
“Lelaki tempatan itu bertindak sebagai pemandu arah untuk PATI berkenaan untuk masuk ke dalam daerah ini.
“Sewaktu serbuan, didapati mereka berada di tepi jalan berkenaan berkemungkinan menunggu tekong darat lain untuk datang mengambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kesemua 21 warga asing yang ditangkap termasuk enam wanita Indonesia itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Tambah Mohd. Ambia, mereka telah dibawa ke Pos Bagan Pasir untuk proses dokumentasi serta tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE