TAMPIN – Seorang anggota tentera terpaksa menanggung kesakitan apabila tangan kirinya hancur dan hampir terputus selepas baju yang dipakai terbelit pada gegancu motosikal dalam kejadian berhampiran Kem Syed Sirajuddin Gemas di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 7.10 pagi.
Kemalangan melibatkan dua anggota tentera berusia 37 tahun dari Kem Syed Sirajuddin.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke Kem Syed Sirajuddin dan setibanya di lokasi kejadian, baju pembonceng tersangkut pada gegancu (spoket) motosikal Yamaha Y15.
“Ini menyebabkan baju itu terbelit dan pembonceng terjatuh. Tangan kiri mangsa termasuk dalam rim,” katanya dalam kenyataan.
Penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.-KOSMO! ONLINE