NARATHIWAT – Penguatkuasaan ketat pihak berkuasa Malaysia mengakibatkan bekalan minyak masak peket subsidi yang dipercayai diseludup dan dijual secara berleluasa di premis tempatan di wilayah ini kehabisan stok sejak tiga hari lalu.
Peniaga beberapa kedai runcit etnik Melayu di daerah Rueso, Waeng dan Sukhirin mendakwa barangan itu habis di kedai mereka apabila pemborong masih belum menghantar bekalan itu.
Tinjauan Kosmo! di sebuah kedai di Rueso mendapati, hanya terdapat bekalan minyak peket satu jenama yang dijadikan simpanan terakhir untuk jualan peniaga.
Seorang peniaga dikenali sebagai Nidda, 55, berkata, kekurangan bekalan itu hanya bersifat sementara kerana stok barangan akan tiba tidak lama lagi.
Katanya, dia sentiasa menerima bekalan daripada pemborong di Rantau Panjang, Kelantan yang membawa masuk minyak masak peket ke Narathiwat.
“Penduduk di sini sentiasa guna minyak masak Malaysia kerana harganya murah dan lebih sedap digunakan dalam masakan.
“Satu peket minyak masak sekilogram dijual pada harga 52 bath (RM6.35),” katanya.
Seorang penduduk di Sukhirin, Che Doloh, 50, berkata, sejak berpuluh tahun lalu, keluarganya menggunakan minyak masak Malaysia kerana harga minyak kelapa sawit botol keluaran Thailand mahal dan pernah mencecah 80 bath (RM9.75) sekilogram.
“Kami dimaklumkan berlaku sedikit masalah untuk membawa bekalan minyak masak ke sini kerana pihak berkuasa di Malaysia sedang memperketatkan kawalan sempadan,” katanya.
Seorang penduduk, Miss Nurro, 43, berkata, harga sekilogram minyak sawit botol di Thailand turun ketika ini apabila dijual 69-70 baht (RM8.40-8.50) sebelum ini kepada 64-65 baht (RM7.75-RM7.90).