fbpx

Smith lakar kejutan besar di St. Andrews

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMITH melakar kejutan apabila dinobatkan sebagai juara pada saingan Kejuaraan Terbuka yang berlangsung di lapangan St. Andrew pagi semalam. – AFP

ST. ANDREWS, United Kingdom – Pemain golf Australia, Cameron Smith melakukan kejutan apabila memenangi Kejua­raan Terbuka edisi ke-150 sekali gus merangkul gelaran major pertama kariernya di St. Andrews pagi semalam.

Lebih manis, pemain ber­usia 28 tahun itu menjadi pemain Australia pertama menjulang Claret Jug sejak Greg Norman melakukannya tiga dekad lalu di Royal St. George pada tahun 1993.

Pada saingan itu, Smith me­ngumpul 20 bawah par keseluruhan untuk mengatasi pencabar terdekatnya, Cameron Young dari Amerika Syarikat dengan kelebihan satu pukulan.

Sementara itu, juara empat kejohanan major, Rory McIlroy yang dijangka mampu mencabar kejuaraan pada saingan di St. Andrews kali ini sekadar di kedudukan ketiga.

“Pada pusingan terakhir, saya tidak melakukan sebarang kesilapan dan turun untuk melakukan yang terbaik sepanjang saingan semalam.

“Sudah pasti memenangi kejuaraan adalah kemuncak prestasi bagi setiap pemain golf, tetapi melakukannya di St. Andrews sukar dipercayai.

“Tempat ini amat menarik terutama kehadiran penonton yang memberi sokongan kepada kami semua di sini. Saya sukakan lapangan ini dan teruja untuk kembali di sini satu hari nanti,” kata pemain di ranking No.6 dunia tersebut.

Catatan yang dilakukan oleh Smith adalah yang paling rendah dalam kejohanan di St. Andrews, mengatasi rekod Tiger Woods yang memenangi edisi tahun 2000 dengan 19 bawah par.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI