KELMARIN, berlaku kejadian kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, Pulau Pinang sehingga mengorbankan empat nyawa.
Kejadian itu tular di media sosial. Meninjau di ruangan komen, ada yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Namun terdapat juga netizen yang bertindak sebagai ‘penyiasat tanpa gaji’ apabila melabelkan mereka yang terlibat dalam kejadian itu dengan stigma negatif tanpa memikirkan perasaan keluarga si mati.
Tuduhan dengan melabelkan mangsa ‘mat rempit’ atau ‘pelesit rempit’ akibat berlumba haram menjadi asbab kematian mangsa sejujurnya tidak molek diguna pakai dalam keadaan sedemikian bagi merujuk kepada perbuatan yang dilakukan mereka.
Sedangkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian kelmarin memaklumkan bahawa siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan tersebut melibatkan beberapa buah motosikal di lebuh raya berkenaan yang ‘disyaki’ mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.
Penggunaan perkataan ‘disyaki’ itu sendiri mampu meredakan hati ahli keluarga terdekat yang terkesan dan bukannya terus membuat tuduhan melulu terhadap sekumpulan besar penunggang motosikal yang berada di lokasi kejadian pada masa tersebut.
Seeloknya, dapatkan penceritaan daripada sumber sahih termasuk mereka yang turut serta dalam aktiviti pada hujung minggu di negeri ini.
Susulan kejadian itu juga PDRM menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram kerana ia bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri, malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Ibu bapa juga diseru supaya sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing agar tidak melibatkan diri dalam apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang atau mendatangkan kemudaratan,” ujar Sophian.
Sementara itu, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah memberitahu, secara psikologinya, masyarakat perlu menghapuskan stigma bahawa apabila berlaku kemalangan maut dipercayai lumba haram.
“Secara umumnya, saya bersetuju selepas kita menempuh pandemik Covid-19 yang agak lama, kita tidak dapat ke mana-mana.
“Jika kita lihat suasana sekarang, ramai orang keluar bersosial dengan rakan-rakan, mat motor atau penunggang motosikal sebagainya mereka juga mempunyai destinasi sosial tersendiri.
“Jika masyarakat berpandangan, orang yang menunggang motosikal dalam kumpulan ramai membawa masalah, tiada kerja dan suka merempit, ini adalah satu salah faham yang telah berlaku dan harus diperbetulkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut beliau, jika dilihat penunggang motosikal atau mat motor juga mempunyai aktiviti yang sihat dan mampu menggerakkan sumbangan dalam komuniti masyarakat.
“Sekiranya kita hendak menghakimi kepada segelintir penunggang yang merempit dan terlibat jenayah, maka kita tidak boleh menyamakan ayat itu (mat rempit) untuk semua penunggang motosikal yang berkumpulan,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE