DUA gol dalam tempoh tujuh minit memastikan kemenangan mutlak buat Sabah yang menewaskan Terengganu 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Semangat juang yang dipamerkan anak buat Datuk Ong Kim Swee di babak kedua nyata membuahkan berhasil dengan menyaksikan Baddrol Bakhtiar dan Park Taesu menjadi watak utama kepada kejayaan Sabah.
Gandingan kedua-dua pemain itu cukup luar biasa terutamanya menerusi situasi bola mati yang menyumbangkan kedua-dua gol buat The Rhinos.
Terdahulu, kedua-dua pasukan menyerlahkan kualiti masing-masing namun Terengganu yang hadir dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terdahulu lebih bernasib baik untuk memperoleh gol pertama menerusi Manuel Ott pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Sabah tampil lebih agresif dan percubaan menarik Amri Yahyah pada minit ke-64 seakan beri bayangan kejutan yang bakal dihadirkan oleh tuan rumah.
Minit ke-72, berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Baddrol, Taesu yang lebih dikenali sebagai Karim Park nyata bijak menempatkan diri di kedudukan terbaik untuk menanduk masuk gol penyamaan buat Sabah.
Berselang tujuh minit selepas itu, hantaran Baddrol menerusi sepakan percuma sekali lagi mencari Taesu dan kesempatan itu nyata membuahkan hasil apabila bintang import dari Korea Selatan itu berjaya menghasilkan gol kemenangan buat Sabah. -KOSMO! ONLINE