SEBERANG PERAI – Pulau Pinang mungkin menjadi negeri pertama yang akan mewartakan fatwa berkaitan perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Mufti negeri, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pewartaan itu penting bagi memastikan tidak ada lagi mana-mana pihak atau individu berani melakukan perbuatan tersebut selepas ini.
“Insha-Allah kita akan bincang isu ini dari segi kefatwaan dan apabila keputusan dibuat nanti, eloklah digazetkan (diwarta),” katanya selepas merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Negeri Pulau Pinang 2022 yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Sebelum ini, tular satu video menghina Islam di laman sosial menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.
Suspek yang berusia 39 tahun itu bagaimanapun ditahan pukul 12.30 tengah hari kelmarin di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong, Selangor manakala terbaru, seorang lagi lelaki diberkas dalam serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, Kelantan semalam.
Dalam pada itu, Wan Salim memberitahu, sehingga kini, sebanyak 71 fatwa secara keseluruhannya telah digazetkan di Pulau Pinang.- KOSMO! ONLINE