fbpx

Majikan digesa ambil pekerja asing dari negara sumber diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Majikan di negara ini digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber diluluskan oleh kerajaan serta tidak bergantung harap semata-mata kepada negara sumber tradisi sahaja.

Keputusan itu diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini tadi dengan menyifatkan kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan pandangan pemain industri berkaitan kekurangan tenaga kerja asing.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing dengan mengambil beberapa pendekatan termasuk mahu majikan mempertimbangkan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pemain industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan juga akan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing hingga penghujung Julai ini.

“KSM juga digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri,” katanya tadi.

Ismail Sabri berkata, selain isu pengambilan pekerja asing, mesyuarat itu turut membincangkan hal bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

“Mesyuarat mengambil maklum akan prestasi program MyMudah yang dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

“Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah,” ujarnya.

Katanya lagi, sebanyak 30 peratus isu diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana disasarkan.

“Sehubungan itu, kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI