MACHANG – Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita yang dipercayai cuba menyamar anggota polis selepas merampas beberapa peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama mereka dalam serbuan di sebuah rumah tamu Casadura Labok di sini pada Sabtu lalu.
Kesemua suspek termasuk dua lelaki warga Indonesia berusia antara 27 hingga 42 tahun itu dicekup sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Machang kira-kira Pukul 12 tengah hari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd.Zahir Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas jaket yang mempunyai logo PDRM, sarung pistol, gari dan kad kuasa.
Menurutnya, polis turut merampas dadah jenis syabu daripada suspek yang berada di dalam rumah berkenaan.
“Siasatan mendapati, kesemua suspek datang dari Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Mereka mula menyewa di rumah tamu berkenaan pada hari serbuan dijalankan.
“Salah seorang suspek yang berusia 40 tahun dipercayai cuba menyamar sebagai anggota polis selepas melihat beberapa peralatan PDRM yang dirampas bersama lelaki itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Zahir, selain itu, dua daripada suspek dipercayai membeli peralatan PDRM untuk dipakai bagi tujuan menyamar sebagai anggota polis.
Katanya, kesemua suspek dikatakan datang ke Kelantan untuk melakukan jenayah dengan menggunakan peralatan PDRM yang berada di dalam milikan mereka itu. – KOSMO! ONLINE