KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk menambah hutang negara disebabkan pertumbuhan ekonomi pada masa ini tidak menjana hasil tambahan yang sewajarnya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, ketika ini, Malaysia tidak mengalami masalah ekonomi sehingga boleh mengakibatkan negara muflis.
“Keupayaan negara untuk menambah tahap keberhutangan adalah terhad sebenarnya berbanding dengan negara maju, seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Jepun.
“Ini kerana pertubuhan ekonomi pada wakktu ini tidak menjana hasil tambahan yang sewajarnya untuk kita membuat penambahan hutang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) adakah hutang negara masih di paras terurus dan sama ada negara perlu berhutang lagi untuk membantu rakyat.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi sebaliknya yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Pada akhir April tahun ini, IMF telah menyuarakan keyakinan bahawa KDNK negara bagi tahun ini akan berkembang pada kadar 5.7 peratus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE