fbpx

KDA FC benam Sarawak United FC 3-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmoud Al-Mardi dikawal pemain Sarawak United FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. /FOTO FACEBOOK KDA FC

ALOR SETAR – Selepas gagal mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya bangkit dalam saingan Liga Super apabila membenam Sarawak United FC 3-1 di Stadium Darul Aman di sini sebentar tadi.

Bermula dari minit pertama, barisan pemain Sang Kenari jelas menunjukkan betapa mereka cukup bernafsu untuk meraih tiga mata dengan kerap memberi tekanan kepada pemain lawan menerusi gerakan berbahaya ke kubu pelawat.

Keadaan itu membuka ruang kepada mereka membuka jaringan apabila pemain sayap dari Jordan, Mahmoud Al Mardi tenang melakukan rembatan leret untuk menewaskan penjaga gol pelawat pada minit ke-8, setelah menerima hantaran lintang daripada Mohammad Fayadh Zulkifli.

Seakan tidak puas dengan cuma satu gol, anak buah Aidil Sharin Sahak terus mempamerkan keyakinan dalam aspek kawalan bola apabila hantaran-hantaran dilakukan jarang mengecewakan sekali gus membantu mereka menguasai permainan serta merapati kubu lawan.

Bola yang lebih banyak berlegar dalam kawasan pelawat bagaimanapun gagal disumbat ke gawang Sarawak United dengan penyerang utama KDA FC, Ronald Ngah Wanja turut gagal menyambut hantaran lambung cantik Mahmoud ke dalam kotak penalti pada minit ke-43 bagi menambah jaringan.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah terlebih dahulu melakukan ancaman dengan rembatan dari luar kotak penalti oleh bekas pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr sedikit melepasi palang gol pada minit ke-51.

Kesilapan Muhammad Khairu Azrin yang kehilangan bola dari tengah padang seminit kemudian, bagaimanapun membuka ruang kepada Sarawak United untuk menyamakan kedudukan apabila bola yang dirampas terus dihantar ke dalam kotak penalti tuan rumah oleh pemain pasukan pelawat.

Dalam keadaan kelam kabut di kotak penalti itu, penyerang Sarawak United, Francis Kone sempat menguis bola untuk dihantar kepada rakan sepasukannya, Uche Agba sebelum pemain berasal dari Lagos, Nigeria itu melepaskan rembatan menggunakan kaki kiri, sekali gus menewaskan penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pada minit ke-71, Sanrawat menunjukkan kualiti dimilikinya dengan melakukan gerakan solo melepasi dua pemain Sarawak United sebelum melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti lawan.

Rembatan dilakukannya itu memaksa penjaga gol Sarawak United, Tauffiq Ar Rasyid Johar melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.

Hanya tiga minit berselang, Sanrawat sekali lagi melakukan gerakan solo yang menarik dan kali ini hantarannya membantu Ronald Ngah Wanja untuk melepaskan rembatan leret menggunakan kaki kiri dari luar kotak penalti, yang gagal dijangkau penjaga gol pelawat untuk gol kedua KDA FC.

Stadium Darul Aman yang dikunjungi hampir 2,000 penyokong tuan rumah, bergema lagi pada minit ke-79 apabila tendangan lambung dilakukan Mahmoud Al Mardi dari jarak jauh, terus menerjah ke jaring sebelah kanan lawan untuk memuktamadkan keputusan perlawanan 3-1 menyebelahi KDA FC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI