PETALING JAYA – Momentum dan kemampuan bintang sensasi Janna Nick bekerja di belakang tabir selaku penerbit dan pengarah drama mencetuskan rasa kagum di hati aktres senior, Nora Danish.
Di sebalik banyak kontroversi, Nora tidak menyangka Janna mempunyai satu karisma yang disifatkan mempunyai hala tuju karier, terutama sebagai pengarah pada usia muda.
“Saya sebenarnya kagum dengan Janna Nick. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah cerita seram arahan Janna.
“Saya juga terkejut melihat cara dia (Janna) mengarah. Walaupun saya lebih dahulu bertapak dalam industri, tapi Janna mempunyai karisma dan hala tuju dalam kerjayanya.” kata pemilik nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif itu kepada Kosmo! Online.
Kata Nora lagi, cara kerja Janna sebagai pengarah seolah-olah menunjukkan pelakon berusia 27 tahun itu sudah lama menjadi seorang sutradara walaupun hakikatnya, Janna tidak pernah mengikuti sebarang kursus pengarahan secara profesional.
“Janna dapat lakukan itu kerana bakat dan minat. Malah Janna juga mempunyai hala tuju yang sangat jelas,” katanya.
Nora baru-baru ini terbabit dengan sebuah naskah seram berjudul Tangisan Pontianak arahan bekas pengacara Melodi itu.
Keupayaan dan kesungguhan Janna mengembangkan ‘sayapnya’ dalam industri sebagai pengarah juga menjadi inspirasi buat Nora untuk bergerak ke arah itu suatu hari nanti.
Kata Nora, sejak berkecimpung dalam dunia hiburan hampir 20 tahun lalu, dia juga tidak terfikir untuk kekal sebagai pelakon sehingga dimamah usia.
Justeru, Nora mempunyai sasaran yang ingin dicapai, antaranya membuka sebuah rumah produksi sendiri.
“Apa yang saya boleh buat seterusnya, saya bercita-cita untuk membuka sebuah rumah produksi dan menjadi penerbit. Pada masa sama saya juga mahu menjadi pengarah,” katanya.
Pada usia 40 tahun, ibu kepada dua orang cahaya itu bersyukur kerana masih ‘laris’ membawakan watak heroin dan bergandingan dengan hero-hero yang jauh lebih muda daripada usianya.
Malah, Nora belum terfikir untuk bersara dalam masa terdekat kerana mengakui masih belum puas untuk berlakon kerana belum mendapat naskah yang betul-betul meninggalkan kesan dalam jiwanya.
“Menjengah usia 40 tahun, banyak lagi perkara yang saya belum capai. Kalau orang tanya watak apa yang saya idam-idamkan, saya tetap akan kata watak dalam cerita cinta.
“Saya belum lagi dapat naskah cinta yang betul-betul hebat sehingga meninggalkan kesan dalam diri. Jadi untuk saya bersara, mungkin belum lagi,” katanya.
Pada masa sama, Nora juga tidak menolak jika dia diberi peranan untuk memegang watak sebagai seorang ibu, asalkan bersesuaian dengan jalan cerita dan usia pelakon yang akan menjadi anaknya. – KOSMO! ONLINE