KUALA LUMPUR – Industri sawit negara menanggung kerugian mencecah RM10.46 bilion bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini ekoran kekurangan tenaga kerja.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, anggaran kerugian itu telah mengambil kira harga buah tandan segar (BTS) bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 pada RM1,390 satu tan.
“Berdasarkan jumlah kekurangan penuai dan pemungut BTS iaitu seramai 28,940 orang dengan anggaran purata produktiviti dua tan BTS sehari, dianggarkan sebanyak 57,880 tan BTS sehari tidak dapat dituai.
“Mengambil kira bilangan hari bekerja selama 26 hari sebulan, jumlah anggaran BTS yang tidak dapat dituai adalah sebanyak 1.5 juta tan sebulan manakala bagi tempoh lima bulan pertama bagi tahun ini adalah sebanyak 7.52 juta tan, dengan nilai RM10.46 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dewan Rakyat yang dikemukakan Dr Azman Ismail (Kuala Kedah) terhadap kekurangan buruh dan kesannya terhadap sektor berkenaan.
Zuraida berkata, sektor perladangan sawit sangat bergantung kepada pekerja asing di mana lebih daripada 75 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di sektor berkenaan adalah terdiri daripada pekerja asing.
“Penutupan sempadan negara bermula Mac 2020 sehingga Mac 2022 akibat pandemik COVID-19 telah menyebabkan isu kekurangan guna tenaga di sektor ini menjadi lebih meruncing.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, purata kekurangan pekerja di sektor perladangan sawit adalah dianggarkan seramai 54,190 orang di mana 53.4 peratus (28,940 orang) daripadanya adalah bagi kategori kerja penuaian dan pemungutan BTS,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE