BARCELONA – Perancang sensasi Barcelona, Frenkie De Jong dilaporkan sudah berubah angin apabila mengakui tidak mempunyai masalah untuk meninggalkan Barcelona, tetapi tidak mahu menyertai Liga Perdana Inggeris.
Pemain tengah yang menjadi buruan Manchester United itu dilaporkan tertarik untuk menikmati saingan Bundesliga di Jerman dengan Bayern Munich adalah menjadi pasukan pilihannya.
Sebagai rekod, spekulasi melibatkan De Jong hangat diperkatakan pada jendela perpindahan kali ini apabila menjadi sasaran No. 1 pengurus baharu United, Erik Ten Hag dalam memastikan pasukan mampu memberi cabaran pada kempen musim depan.
Malah, United telah bersetuju dengan tanda harga yang diletakkan oleh kelab The Catalans itu untuk mengeluarkan dana tunai sebanyak £63 juta (RM333.4 juta) dengan tambahan bonus sebanyak £8 juta (RM43.3 juta) bergantung dengan prestasi De Jong.
Namun, De Jong difahamkan tidak bersetuju untuk merealisasikan perpindahan tersebut kerana status The Red Devils yang hanya beraksi pada kempen Liga Europa musim depan berbanding saingan elit, Liga Juara-Juara (UCL).
Selain itu, pemain berusia 25 tahun itu juga tidak berminat untuk beraksi dalam kancah EPL, meskipun khidmatnya turut menarik perhatian Chelsea.
Difahamkan, Bayern menjadi kelab pilihannya seandainya dibenarkan membuat pilihan untuk berhijrah pada saingan musim depan.
Ini memandangkan peluang pasukan itu untuk menjulang piala lebih cerah.
Lebih menarik, kehadiran ‘sahabat baik’, Matthijs De Ligt yang dijangka melengkapkan perpindahannya ke Bayern dari kelab Juventus dalam masa terdekat mencerahkan lagi peluang De Jong untuk menyertai juara bertahan Liga Jerman itu. – AGENSI