PUTRAJAYA – Orang ramai kini boleh menyemak Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2022 (DPT BLN6/2022) yang telah diperakui serta diwartakan hari ini dan dibuka untuk semakan selama 30 hari sehingga 17 Ogos depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN6/2022 mengandungi nama bagi 38,786 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Jun hingga 30 Jun 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“Turut dibuka untuk semakan menerusi DPT BLN6/2022 adalah nama 10,414 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,591 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
“Warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun lalu serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status diseru untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2022, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C secara online di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berkenaan.
“Semakan boleh dibuat menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; aplikasi online https://myspr.spr.gov.my; atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“Pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya juga boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat PRN yang berkenaan,” ujar beliau.
Tambah Ikmalrudin, Borang C dan Borang D boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat PRN di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah PRN berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2022.
“Maklumat lanjut mengenai urusan semakan DPT BLN6/2022 boleh didapati dengan melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat PRN,”katanya. – KOSMO! ONLINE