fbpx

Bunkface gegar Zepp KL hujung bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Bunkface.

KEMBALI lengkap dengan empat ahli, iaitu Sam selaku vokalis, Youk (bass), Paan (gitaris utama) dan terbaharu, Biak yang berada di posisi dram, kumpulan yang terkenal dengan jalur muzik punk rock, Bunkface menggegarkan kembali kehangatan ingatan peminat dengan konsert Bunkface – 15 Years of Korang.

Konsert dua malam berturut-turut tersebut bakal berlangsung di Zepp KL pada 30 dan 31 Julai ini.

“Bukan sekadar melepaskan gian, Bunkface berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada konsert itu nanti.

“Kami dalam proses persiapkan segala aspek kerana bukan mudah persembahkan 25 lagu untuk dua hari. Baik daripada segi stamina mahupun susunan terbaik lagu-lagu kami nanti.

“Paling penting susunan muziknya kerana kami mahukan penonton boleh menyanyi bersama kelak. Kami tak mahu berikan persembahan yang tidak setimpal dengan harga tiket dibeli mereka,” kata Paan.

BUNKFACE buat pertama kalinya akan mendendangkan single baharu berjudul I Miss U pada malam konsert Bunkface – 15 Years of Korang, 30 dan 31 Julai nanti.

Demi peminat

Pada malam konsert itu juga, Bunkface akan mempersembahkan single terbaharu mereka berjudul I Miss You ciptaan sendiri sebagai apresiasi kepada para peminat yang setia menyokong perjuangan selama ini.

“Khas buat penonton konsert nanti, mereka berpeluang mendengar lagu terbaharu dari kami secara eksklusif buat pertama kalinya yang belum dilancarkan di mana-mana platform lagi.

“Lagu ini menceritakan tentang perjalanan seni kami sejak ditubuhkan dengan terperinci tentang apa yang sebenarnya terjadi dan bagaimana. Lagu ini juga sebagai kerinduan terhadap peminat-peminat kami yang setia dari hari pertama sehingga ke hari ini,” sambung Paan.

Sebagai sebuah band yang mampu berdiri selama 15 tahun, pasti ada cabarannya tersendiri, kongsi Sam:

“Tiada rahsia keutuhan kami selama ini, hanyalah bersama mereka yang menerima kelemahan sesama sendiri dan sentiasa cuba menjadi lebih baik dari semalam.

“Perkara yang paling penting adalah jangan terburu-buru, jangan mudah berputus asa, bawalah semangat anda ke mana-mana dalam apa jua keadaan, kerana kerja keras boleh mengatasi bakat.”

Dalam pada itu, kata Sam, dua tahun terperuk disebabkan wabak Covid-19, sedikit sebanyak memberi kesan kepada motivasi mereka untuk bermain muzik, namun bersyukur telah perlahan-lahan ditunjukkan jalan keluar daripada kesuraman.

BUNKFACE tidak menyangka masih ramai peminat sanggup berhabis untuk menonton persembahan mereka apabila tiket konsert hujung bulan ini telah habis terjual.

Terperuk

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentetan penularan wabak Covid-19 yang berlaku selama lebih kurang dua tahun, mereka mengakui merasai impak yang hampir membantutkan semangat muzik mereka.

“Sewaktu PKP, ada kawan-kawan yang risau dan menyuruh kami tutup studio. Ini kerana kami memang tidak menjana pendapatan kerana lebih dua tahun tak dapat buat persembahan.

“Kami memang ada cuba pelbagai kerja lain kerana masing-masing ada keluarga. Jadi ejen perniagaan, pelaburan, tetap tidak jalan dan akhirnya kembali bikin muzik juga.

“Apabila pengurus memberitahu tiket konsert kami terjual habis, memang tak sangka kerana tak pernah berlaku.

“Memang ada hikmah dua tahun itu dan mencetus kerinduan buat peminat.

“Dalam tempoh tersebut juga Biak kembali ke pangkuan Bunkface. Itulah orang cakap, dalam kesusahan ada kesenangan yang menanti,” ujar Sam.

Tiket berharga RM100 dan RM150 untuk hari kedua boleh dibeli menerusi laman web www.hitmanlive.com.

Tiket hari pertama habis terjual dalam tempoh 11 jam sahaja selepas dilancarkan pada 14 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI