LONDON – Bekas pengurus Napoli, Rafael Benitez berasakan belum ada jaminan bintang baharu Chelsea, Kalidou Koulibaly mampu menyerlah di Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti yang pernah dilakukan ketika mewakili Napoli.
Walaupun pengendali The Blues, Thomas Tuchel menaruh keyakinan kepada Koulibaly, Benitez yang sarat dengan pengalaman menguruskan kelab Inggeris tetap dengan pendirian bahawa Serie A dan EPL adalah dua saingan berbeza.
Di sebalik status pertahanan terbaik dalam bola sepak di Itali, Benitez yang pernah bekerjasama dengan Koulibaly di Napoli nyata begitu ‘masak’ dengan kualiti pemain berkenaan dan berasakan kelemahannya mampu dimanipulasi oleh pasukan lain.
“Koulibaly cukup berpengaruh ketika berada di Itali dan ramai yang memperkatakan dia adalah pemain pertahanan tengah terbaik di Itali. Di EPL, dia perlu tingkatkan fokus atau akan menjadi mangsa kerana kelalaian ataupun terlalu yakin.
“Dia mungkin seperti Antonio Rudiger, miliki kualiti ketika larian bersama bola, malah kedua-dua kakinya juga ‘hidup’. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat dia terus berkembang di liga ini.
“Namun, seperti yang saya katakan, dia agak bagus di Itali, namun saya masih ragu-ragu dengan aksinya di Liga Perdana Inggeris,” katanya.
Sebelum ini, The Blues mengesahkan berjaya mendapatkan khidmat Koulibaly, namun keputusan Chelsea itu menimbulkan keresahan kerana pemain itu yang belum pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, pengalaman bintang antarabangsa Senegal itu menjadi taruhan buat Tuchel untuk membina semula barisan pertahanan selepas peghijrahan Rudiger dan Andreas Christensen. – AGENSI