fbpx

Aspek keselamatan kekal jadi keutamaan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Kerajaan memberi keyakinan untuk terus mengutamakan aspek keselamatan dan tidak akan menjejaskan peruntukkan bidang itu meskipun sistem pentadbiran negara diarah berjimat dengan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan serta tidak terjejas dengan cadangan penjimatan hingga mencapai sekurang-kurangnya 5 peratus daripada baki peruntukan mengurus pada tahun 2022.

“Langkah penjimatan kerajaan meliputi projek pembangunan yang belum dilaksanakan dan dalam perancangan, maklumat terperinci akan dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Aspek keselamatan tidak akan terjejas, pos kawalan sempadan tidak terjejas, ia kekal jadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 di Hotel Marriott di sini tadi.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adakah aspek keselamatan perlu langkah penjimatan seperti arahan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk segera melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara menghadapi potensi krisis pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, inisiatif terbabit perlu melibatkan kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penglibatan pihak swasta.

“Malah, ia perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti.

“Setiap agensi kerajaan juga harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera,” jelasnya.

Katanya lagi, bagi tempoh tiga tahun, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI