KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah, S P Setia Berhad menganjurkan Konsert Setia ‘Live Out Loud’ sempena pembukaan pusat beli-belah Setia EcoHill Mall di Semenyih, Selangor pada 3 September ini.
Konsert secara percuma itu menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 penonton dan menjadi acara komuniti bagi melengkapkan program Citizen Setia dibawah syarikat tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai berkata, pihaknya berbesar hati dengan penganjuran konsert tersebut yang menampilkan barisan penyanyi tempatan dan antarabangsa kegemaran rakyat negara ini.
Antara penyanyi yang dijangka membuat persembahan pada malam itu adalah Datuk Zainal Abidin, Hael Husaini, Santesh, Nicholas Teo, Priscilla Abby dan kumpulan pop, The15.
“Saya percaya konsert ini akan memberikan aura luar biasa selepas negara sepi seketika tanpa sebarang penganjuran program hiburan disebabkan pandemik Covid-19.
“Pihak kami akan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap aspek keselamatan pengunjung pada malam tersebut,” katanya pada sidang akhbar konsert itu di ibu negara hari ini.
Mengulas mengenai Setia EcoHill Mall, Kai Wai memberitahu, pusat beli-belah itu merupakan bangunan tiga setengah tingkat meliputi kawasan seluas 26,012 meter persegi.
“Setia EcoHill Mall akan memberi perkhidmatan kepada lebih 600,000 penduduk di sekitar Semenyih, Cheras Selatan, Putrajaya, Kajang dan Bangi.
“Pasar raya terkenal, Lulu Group International mengesahkan menjadi penyewa utama di pusat beli-belah ini,” katanya.
Mereka yang mahu memeriahkan Konsert Setia ‘Live Out Loud’ boleh membuat tempahan tiket secara percuma bermula semalam menerusi laman web https://liveoutlous.spseria.com. – KOSMO! ONLINE