GUA MUSANG – Kasih seorang suami terhadap isterinya tidak pernah pudar buat seorang buruh apabila dia cekal dan setia menjaga wanita itu yang terlantar sejak menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau radang sendi sejak 12 tahun lalu.
Azian Rozi, 42, berkata, keadaan isterinya, Norli Mohd. Adnan, 37, semakin merosot sejak dua tahun kebelakangan ini.
Katanya, ekoran itu, Norli pernah ditidurkan dan dirawat di unit rawatan rapi, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai sebanyak dua kali tahun ini.
“Sebelum ini, hampir dua minggu isteri ditidurkan kerana paras oksigen tidak sampai ke otak ekoran kadar kandungan gas itu yang rendah.
“Saya dan empat anak berusia tujuh hingga 17 tahun sentiasa mendoakan kesihatan isteri supaya Allah membantunya dan dapat pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 6 di sini baru-baru ini.
Menurut Azian, isterinya disahkan menghidap SLE selepas mengandungkan anak keempat mereka.
Katanya, sejak daripada itu, keadaan kesihatan isterinya sering merosot dan kini hanya mampu terlantar di atas katil tanpa dapat menguruskan diri.
Bercerita lanjut keadaan isterinya, Azian berkata, Norli bergantung penuh kepada susu khas yang diberikan melalui tiub selain perlu menukar lampin pakai buang empat kali sehari.
Katanya, dia perlu sentiasa bekerja keras setiap hari mencari duit bagi membiayai keperluan isterinya.
“Isteri saya memerlukan lebih lima tin susu khas dan lima beg lampin pakai buang serta tisu basah yang digunakan untuk membersih tubuhnya setiap bulan.
“Saya perlu menyediakan lebih RM500 untuk keperluan isteri dan itu belum lagi untuk keperluan empat anak yang masih bersekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Norli, 2210861824204 atau hubunginya di talian 011-2552 2056.