PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif anak syarikat sebuah bank ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta.
Sumber berkata, tiga suspek masing-masing dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 58 tahun itu disyaki menerima rasuah itu sebagai balasan meluluskan pinjaman dibuat sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka ditahan pukul 6 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.
“Suspek wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta ketika berkhidmat dengan anak syarikat sebuah bank pada sekitar tahun 2010.
“Manakala, suspek lelaki berusia 53 tahun itu pula yang kini bekerja sebagai perunding kewangan manakala rakannya tidak bekerja,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE.