fbpx

Syed Saddiq gagal cabar kredibiliti saksi utama pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas berpendapat, pernyataan Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti beliau.

Mahkamah berpuas hati dengan hujah pendakwaan bahawa pernyataan saksi yang dipohon itu tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Ekoran keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq mengemukakan permohonan baharu untuk mendapatkan kenyataan Rafiq yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan lisan itu kerana tiada keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut pada peringkat ini.

Pendakwaan menghujahkan, ini kerana Rafiq telah mengaku ketika memberi keterangan bahawa terdapat sedikit percanggahan keterangannya di mahkamah dengan pernyataan saksi.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk menggunakan pernyataan yang direkodkan oleh SPRM untuk mencabar kredibiliti saksi. Permohonan pihak pembelaan seolah-olah ‘fishing expedition’. Tambahan pula, pernyataan yang direkodkan oleh SPRM adalah suatu ‘privileged document’,” katanya.

Azhar menetapkan Jumaat ini bagi mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan itu.

Perbicaraan bersambung esok.

Pada 7 Julai lalu, pembelaan membuat permohonan untuk mencabar kredibiliti Rafiq berhubung kandungan pernyataan saksinya yang didakwa bercanggah dengan keterangan lisan di mahkamah.

Bagaimanapun, pendakwaan berhujah bahawa pernyataan saksi Rafiq tidak mempunyai asas undang-undang kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakannya di mahkamah.

Dalam keterangannya awal bulan ini, Rafiq memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq telah memintanya untuk mengeluarkan RM1 juta ketika satu mesyuarat di rumah tertuduh di Petaling Jaya pada Mac 2020.

Namun, ketika pemeriksaan balas, Rafiq berkata Syed Saddiq hanya menyebut jumlah RM1 juta itu dalam satu panggilan telefon. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI