KUALA LUMPUR – Hajat pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabuoy mencipta sejarah pada Kejohanan Olahraga Dunia 2022 di Eugene, Oregon, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi tidak berjalan seperti diharapkan.
Perjalanannya terkandas di peringkat saringan apabila mengakhiri perlumbaan pada tempat ketujuh daripada lapan peserta dengan catatan masa 53.57 saat (s) dalam aksi di Hayward Field itu.
Biarpun masa dilakukannya kurang memberangsangkan berbanding catatan-catatan terdahulunya dalam tahun ini, namun penglibatannya sekurang-kurangnya mampu memberikan satu pengalaman baharu buat Shereen.
“Saya kecewa dengan diri sendiri kerana membuat kesilapan teknikal. Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk bertanding di sini hari ini.
“Namun, saya perlu bersemangat dan memandang ke hadapan untuk memastikan saya dalam keadaan positif sebelum ke Sukan Komanwel,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Empat pelari daripada saringan Shereen awal pagi tadi berjaya mara ke separuh akhir iaitu atlet Poland, Anna Kielbasinska (50.63s), atlet Jamaica, Candice McLeod (50.76s), atlet Great Britain, Victoria Ohuruogu (51.07s) dan Lada Vondrova dari Republic Czech (51.55s).
Pengalaman berharga itu pastinya mampu mematangkan Shereen untuk memberikan larian yang lebih baik dalam kejohanan besar seterusnya iaitu Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai ini.
Ia bakal memberi peluang kedua buat Shereen untuk cuba memecahkan rekod 400m wanita kebangsaan berusia 29 tahun milik Rabia Abdul Salam dengan catatan 52.56s dilakukan pada Kejohanan Olahraga Asia 1993. – KOSMO! ONLINE