MUNICH – Pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry menamatkan spekulasi mengenai masa depannya selepas menandatangani kontrak baharu sehingga 2026.
Situasi itu sememangnya melegakan Bayern kerana Gnabry, 27, disebut-sebut bakal menyertai pasukan baharu dalam jendela perpindahan kali ini kerana kontraknya cuma berbaki setahun di Allianz Arena.
Ia menyebabkan beberapa gergasi Eropah mula mengintai peluang untuk mengikat tonggak skuad antarabangsa Jerman itu seperti juara Eropah, Real Madrid, Chelsea dan juga bekas kelabnya, Arsenal.
Perkhabaran itu merungsingkan gergasi Bundesliga tersebut kerana mereka baru sahaja mengumumkan penjualan penyerang utama, Robert Lewandowski kepada Barcelona.
Kini, Gnabry tampil menjawab segala persoalan mengenai masa depannya dan bersedia untuk memastikan Bayern kembali memenangi pelbagai trofi sepanjang empat tahun selepas ini.
“Saya kerap memikirkan apa yang saya mahukan selepas ini. Akhirnya saya mendapat jawapan untuk kekal bersama Bayern dan mula memenangi segala-galanya semula di sini.
“Ia satu pengalaman indah yang tidak dapat dibeli dengan duit. Apa yang saya maksudkan ialah memenangi satu lagi kejuaraan Liga Juara-Juara buat para peminat Bayern.
“Saya masih sama, dahagakan kejuaraan. Saya mahu merasai banyak pengalaman yang lebih mengembirakan di sini. Saya percaya ia tiada di pasukan lain,” kata Gnabry.
Sebagai rekod, Gnabry telah menjuarai empat gelaran Bundesliga, dua Piala DFB Pokal, satu Liga Juara-Juara, satu Piala Super Eropah dan satu Piala Kelab Dunia sejak menyarung jersi Bayern dari 2017. – AGENSI