PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal dinaiki melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kemalangan di hadapan stesen minyak, Desa Mentari, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 6.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal itu melanggar sebuah kereta jenis Mercedes Benz 230E yang sedang membelok ke kanan dari arah bertentangan.
“Mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 18 tahun itu telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fakhrudin, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Hafeez Faesal di talian 01132311232 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE