SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali tiba musim perayaan atau cuti sekolah, pasti ramai akan pulang ke kampung halaman untuk menyambutnya dengan keluarga tersayang.
Jalan seluruh lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan kampung dipenuhi dengan kenderaan perantau dan juga masyarakat setempat.
Namun, saya sedikit kesal dengan segelintir pemandu yang bertindak mementing diri sendiri sehingga orang lain menjadi mangsa kemalangan.
Umpamanya, sewaktu saya pulang ke kampung hujung minggu lalu, saya nyaris menjadi mangsa kemalangan apabila dihimpit sebuah kereta yang sedang memotong.
Nasib baik saya sempat mengelak kereta tersebut yang terus memecut tanpa mengendahkan kelakuannya kepada orang lain.
Sikap gelojoh dan pentingkan diri sendiri ini bukan sahaja menyusahkan pemandu lain, tetapi ia juga boleh menyebabkan orang lain menjadi mangsa keadaan.
Buanglah sikap ego anda itu, pandulah dengan berhati-hati tidak kiralah di musim perayaan atau tidak.
Tanamkan dalam diri sikap seorang pemandu berhemah agar kita dan orang lain tidak menyumbang kepada statistik kemalangan jalan raya.
Ingat, kampung tidak lari ke mana, bukan kita sahaja yang ingin pulang ke kampung menyambut Aidilada, orang lain pun sama.
Jalan raya untuk dikongsi, sama-sama kita saling hormat dan menghormati. Tak rugi kita beradab dan toleransi di jalan raya.
Ayahpena
Tumpat, Kelantan