KHABARNYA, ramai dalam kalangan peniaga khususnya yang tidak melibatkan barangan atau perkhidmatan perlu, kini mula ‘garu kepala’ dan merasa bimbang apabila mengalami kemerosotan dalam perniagaan masing-masing.
Semuanya gara-gara corak berbelanja dalam kalangan rakyat di negara ini dikatakan mula berubah. Ramai dikatakan mula mengambil langkah berjimat-cermat khususnya dalam kalangan keluarga B40 apabila mereka kini hanya berbelanja kepada barang-barang perlu sahaja.
Situasi tersebut adalah rentetan daripada kenaikan harga pelbagai barangan keperluan seperti ayam, ikan, telur, minyak masak, gandum dan lain-lain yang tempiasnya turut terkena kepada kenaikan barangan lain termasuk nasi campur serta makanan lain di restoran atau gerai-gerai tepi jalan.
Hakikatnya rakyat tetap kena makan walaupun harga makanan naik. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin tidak akan menghadapi masalah, namun bagi mereka yang pendapatannya masih di takuk lama atau yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ atau yang langsung tidak boleh ‘mengais’ pasti akan menghadapi kesukaran.
Mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengambil langkah berjimat cermat supaya dapat bertahan lebih lama dalam keadaan di mana banyak harga barang melambung.
Dalam hal ini pastinya mereka memilih untuk memenuhi keperluan hidup terlebih dahulu seperti makanan, hal-hal melibatkan persekolahan anak atau menyelesaikan bil-bil utiliti.
Kesan langsung daripada itu, jumlah pelanggan yang berbelanja di kedai-kedai yang tidak melibatkan barangan perlu mula merosot.
Pusat beli-belah atau kedai-kedai perniagaan serta penyedia-penyedia perkhidmatan yang baru nak pulih dan kembali bernyawa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, kelihatannya terpaksa pula berhadapan dengan situasi tidak terduga ini.
Sudah tentu kita mahu peniaga-peniaga ini dapat bertahan untuk menghadapi keadaan getir ini, dan sesuatu harus dilakukan supaya keadaan ekonomi negara kembali pulih supaya orang ramai kembali mendapat kuasa beli mereka dan berbelanja seperti biasa.
Kita bimbang jika aktiviti perniagaan di dalam negara banyak yang ‘hidup segan, mati tidak mahu’, kerana ia boleh memberi kesan langsung jumlah rakyat yang bekerja.
Jika banyak perniagaan tidak bagus, maka jumlah rakyat yang bekerja juga akan berkurang dan senario ini tidak bagus dalam proses penjanaan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Kita sedar masalah ini turut berlaku di seluruh dunia, bagaimanapun kita tidak boleh pandang sebelah mata tentang perkara ini. Sesuatu harus dilakukan untuk menyelesaikannya untuk jangka masa panjang, bukan sekadar untuk kelegaan yang seketika. -KOSMO! ONLINE